Friday, July 29, 2011

Apabila Fesyen Menjadi Darah Daging

بسم الله الرحمن الرحيم


Cinta kadangkala melemahkah manusia. Cinta kepada dunia membawa manusia jauh dari akhirat. Cinta kepada kesihatan membuatkan manusia lupa tentang kesakitan. Cinta pada harta menjauhkan manusia daripada sedekah. Cinta pada usia remaja sentiasa membawa manusia melupakan hari tua. Dan yang paling teruk, cinta terhadap dunia membuatkan manusia seakan-akan lupa akan akhirat. Apabila cinta itu terlampau kuat, maka ia bagai telah meresap kedalam darah, malah telah melekat pada daging-daging kita sendiri. Begitu juga dalam aspek pakaian dan fesyen, apabila apa yang pakai hari ini sudah menjadi kebiasaan, sudah pasti amat sukar untuk menanggalkannya. 




Oh ya, saya terlupa satu lagi pepatah tentang cinta. Cinta itu buta. Malah ia membutakan mata serta hati manusia. Sehinggakan pesanan-pesanan sebegini dipandang sebelah mata sahaja. Nasihat-nasihat dalam Al-Quran sering diambil mudah. Apa guna kita membacanya jika sebarang nasihat tidak   diguna pakai?


Berbalik kepada bab berpakaian. Saya pernah berhadapan dengan seorang wanita ketika beliau sedang membentangkan satu presentation berkenaan dengan hijab moden. Dari pandangan beliau, hijab itu perlu dimodenkan mengikut arus masa. Malah, tudung yang berwarna menarik boleh dipadankan di atas kepala seorang muslimah dengan alasan mengikut peredaran zaman. Ketika sesi soal jawab, saya bertanya kepada beliau,


"Adakah tudung berwarna warni serta bersaiz kecil masih dikategorikan sebagai hijab?"


Mungkin soalan saya agak 'keterlaluan' memandangkan majoriti hadirin wanita adalah wanita yang berpakaian moden namun saya merasakan saya wajar untuk saya menyoal soalan sebegitu.


" Lihat kepada saya, adakah saya menutup aurat?", soalnya kembali kepada saya.


Saya terdiam. Suasana sudah menjadi sedikit tegang ketika itu. Soalannya tidak dapat saya jawab memandangkan keadaan ketika itu tidak sesuai.





Hijab bukan sahaja bererti si wanita perlu melekatkan pakaian pada tubuh, tetapi menutup segala-galanya kecuali muka dan tapak tangan. Hanya dua bahagian itu sahaja yang boleh didedahkan di luar rumah. Dan kaki tidak termasuk di dalam bahagian yang boleh didedahkan. Ya, kaki wanita masih menjadi aurat kepada lelaki yang bukan mahram. Ramai wanita yang sering terlupa akan bahagian tersebut. Ada yang sudah menutup kepala, melabuhkan tudung menutup dada, memakai kain yang tidak jarang, namun, bahagian kaki pula terbuka. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan 90% wanita Islam di negara kita tidak menutup bahagian kaki. Dengan peratusan tersebut, secara tidak langsung, telah gugur aurat kaki pada kaca mata kaum wanita. 


Apabila fesyen yang haram telah menjadi darah daging, maka tidak lain tidak bukan, kita perlu 'mencungkil' bahagian daging tersebut daripada diri kita. Memang sakit memang pedih. Namun, ingatlah, azab mana yang lagi pedih? Dunia atau akhirat?


Wallahualam



Sunday, July 17, 2011

Wahai Bidadari


          
Tidak liar pandangan bererti mata mereka hanya tertumpu kepada si suami. Bagi mereka hanya si suami yang menjadi kekasih dan kasih mereka terhadap suami tiada tolok bandingnya.

Jelita matanya/bermata jeli. Hitam indah bagaikan bayi baru lahir, bahkan lebih bersinar.

Mereka (orang-orang beriman) akan duduk bertelekan (duduk bersandar) di atas dipan dipan (singgah sana yang terlalu indah buatannya) dan dikahwinkan dengan ramai bidadari. 


Sebaya umurnya bererti mereka semua adalah sebaya. Muda dan cantik. 



Sudah pasti para bidadari adalah anak dara yang perawan. Dalam kitab-kitab lama perkataan 'anak bidadari' digunakan untuk menggambarkan keperawanan mereka dan usia muda mereka.
Apabila bukan si suami dihadapan mereka, maka para bidadari menundukkan pandangan mereka. Kasih mereka terhadap si suami sangatlah kuat sehinggakan mereka mencela para isteri di dunia yang tidak taat pada suami.
Kata mereka "Membunuh akan kamu oleh ALLAH. Kejamnya perlakuan kamu terhadap suamiku. Dia tidak akan lama bersama kamu. Dan apabila tiba masanya, dia akan datang kepada kami"



Bidadari dicipta dengan langsung bererti para bidadari tidak melalui proses kelahiran, bahkan terus dicipta sebagai gadis. Si bidadari juga suci, tiada haid, dan sentiasa dara.



Sekali lagi Allah menjamin keperawanan para bidadari untuk 'santapan' para mukmin di syurga kelak.





Penuh cinta disini bererti sentiasa merindui suami mereka di dunia. Ada kisah yang mengatakan para bidadari akan meminta malaikat Ridhuan untuk melihat suami mereka di dunia. Maka, Ridhuan memohon kepada Allah. Lalu Allah menyuruh malaikat penjaga syurga itu agar memberitahu para bidadari supaya mendongak ke atas. Dengan izin Allah, mereka dapat melihat suami-suami mereka.

'Uruban' di dalam Bahasa Arab juga membawa maksud berahi yang berpanjangan. Dan mereka, para bidadari ini sentiasa merindui jimak.


Nah, tidak cukup lagikah penjelasan dan jaminan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Janji Allah bukan seperti janji manusia. Sudah pasti tiada keraguan terhadap nikmat yang sangat hebat untuk para mukmin.


Oh, sebelum itu, ada satu rahsia untuk para muslim sekalian. Anda boleh menambah koleksi bidadari di syurga kelak dengan melakukan amalam-amalan tertentu. Salah satu amalannya adalah dengan bertahajjud. Jadi, ayuh kita bersama-sama menambah koleksi peneman kita di syurga kelak dengan bertahajjud. 


Wallahualam

p/s : Jangan risau, jangan khuatir jika akaun FB saudara-saudara sekalian kosong dan tiada wall post daripada gadis-gadis dunia. Kuatkan iman, sentiasa melakukan amal maaruf nahi mungkar maka nescaya wall FB saudara-saudara sekalian di syurga kelak akan penuh dengan wall post serta komen-komen yang menggoda dari para bidadari :)












Friday, July 1, 2011

Sejauh Mana Kefahaman Kita Terhadap Agama?

بسم الله الرحمن الرحيم



"Tidurnya seorang alim lebih ditakuti syaitan daripada 1000 orang abid (ahli ibadah) tanpa ilmu" (Hadis riwayat Tarmizi)

Pertama kali saya mendengar hadis ini adalah ketika ianya dibacakan oleh seorang senior ketika usai solat maghrib di masjid universiti. Ketika ianya dibacakan, saya seakan-akan masih kabur tapi selepas dihuraikanoleh senior tadi, barulah saya faham. 

Apa erti syaitan lebih takut kepada orang yang berilmu (berilmu dan beramal) berbanding orang-orang yang kuat beribadah? Baiklah contoh yang paling mudah, kita solat tapi kita tidak memahami mengapa kita solat. Kita solat sebab ianya bagaikan rutin harian kita. Seolah-olah solat itu, hanya pelengkap jadual harian. Jadi, bagaimanakah kualiti solat kita? 

Kefahaman agama bukanlah perkara yang enteng untuk kita tidak ambil endah. Tapi sedihnya, remaja kita sekarang langsung tidak ada usaha untuk memahami agama. Malah, apabila melangkah ke alam universiti, pendidikan agama tidak dipandang langsung. Hadis Makanan Halal dan Baik dan Surah Al-Jumaah hanya dihafal gara-gara keperluan SPM.

Maka, saranan saya, ambillah subjek tambahan yang 'special' di universiti iaitu USRAH. Bukan sukar bukan payah, malah pengisiannya lebih rileks. Assignment ada, tapi tidaklah berat. Eh, Usrah pun ada assignment? Biar betul? Haa, nak tahu lebih lanjut, masuklah usrah di universiti anda. 

Di dalam kuliah Usrah, saya belajar kembali apa yang diajar oleh ustaz/ustazah zaman persekolahan. Namun cara kupasan lebih berlainan. Bersesuaian untuk peringkat umur kita serta kematangan kita. Di dalam usrah juga, saya belajar untuk membaca terjemahan selepas membaca Al-Quran. Pada awalnya, saya tidak merasakan membaca terjemahan Al-Quran penting namun sanggupkah kita membaca tanpa memahami? Kita sedang membaca nasihat-nasihat dari langit, tapi kita langsung tidak memahaminya. Wajarkah?

Qiamullai atau MABIT. Saya jamin tanpa usrah saya tidak mampu untuk bangun malam. Sabda Nabi S.A.W

"Hendaklah kamu berqiamullai. Sesungguhnya qiamullai itu gaya hidup orang-orang soleh, mendekatkan kamu kepada Tuhan, menghapuskan dosa-dosa dan menegah diri dari maksiat" (Hadis Riwayat Hakim)

Maka, adakah kita tergolong dalam orang-orang soleh?

Fudail bin Iyad pernah berkata :

"Apabila kamu tidak mampu untuk berqiamullai dan puasa sunat di siang hari, maka ketahuilah kamu sedang dibelenggu dengan maksiat yang telah kamu lakukan"


Nah, satu tamparan bagi kita. Kite sedang dibelenggu maksiat, namun tiada langkah-langkah yang diambil untuk menghapuskan belenggu-belenggu itu.

Kita lihat pula dari aspek kekeluargaan. Adakah qiamullai menjadi kelaziman dalam keluarga kita?

“Allah merahmati seorang lelaki yang bangun malam untuk solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia renjiskan dgn air di mukanya. Allah merahmati seorang wanita yang bangun untuk solat malam dan mengejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia merenjiskan muka suaminya dgn air.”                                                     (Hadis Riwayat Abu Daud)                                                                 
                                                                                             


Bagi pasangan yang bercinta, adakah qiamullai akan menjadi rutin keluarga yang bakal anda bina? Mengapa cinta yang terbit dalam diri anda, tidak dijadikan sebagai batu loncatan untuk membina baitul muslim?


Konklusinya, kefahaman agama yang ada dalam masyarakat kita sangat-sangat rendah. Kita sedar akan kekurangan ini. Namun kita seakan-akan membiarkan perkara ini dengan alasan kefahaman agama hanya untuk alim ulama. Tugas belajar agama hanyalah tugas imam dan ustaz. Ini yang perlu kita perbetulkan. Selagi diri bergelar penganut agama Allah, maka kita mesti mencari jalan memahami selok belok agama kita.

Wallahualam




Sunday, June 26, 2011

Mengapa Allah Wujudnya Perasaan Cinta?


بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Dia yang mencipta segalanya. Dari sebutir pasir hinggalah bintang-bintang di langit. Dari setitis air yang hina, tercipta manusia, makhluk yang mulia. Dari perasaan benci hinggalah perasaan sayang, semua itu diciptakan oleh-Nya. Tidak percaya? Tadabburlah surah Ar-Rum ayat 21.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Ar-Rum : 21)


Ohh..jadi memang benar perasaan cinta ini dicipta oleh Allah. Hmmm...tetapi kenapa tidak boleh bercinta dengan kekasih pulak? Cinta kan fitrah bagi manusia. Kalau kita tidak bercinta sebelum berkahwin, macam mana kita nak mencari isteri yang benar-benar bagus? Kenapa? Kenapa dilarang bercinta?

Cinta itu sememangnya fitrah manusia. Maka kenapa diciptakan juga perasaan cinta jika ianya dialarang? Tidak! Islam tidak sama sekali melarang perasaan cinta itu. Malah Islam membenarkan seseorang itu mempunyai rasa cinta walaupun dia masih belum berkahwin. Tetapi, ramai remaja kita yang tidak mengetahui cara-cara bercinta menurut Islam.

Perjalanan menuju ke baitulmuslim bermula ketika remaja itu telah akil baligh. Eh, awalnya. Takkan Islam mengajar umatnya menjadi manusia yang 'gatal'?

Soal perkahwinan, bukan lah sesuatu yang ringan untuk dibincangkan. Malah bagi masyarakat kita, adalah tidak relevan bagi remaja yang masih mentah untuk berbincang tentang soal perkahwinan. Kenapa? Kerana bagi mereka, perkahwinan ini hanya layak dibincangkan oleh orang dewasa.

Berbalik kepada perihal perasaan cinta, ramai remaja kita mentafsirkan perasaan cinta dengan kata-kata cinta, berpegangan tangan serta keluar berdua. Namun itulah yang harus kita perbetulkan.

Perasaan cinta yang ada sebenarnya harus menjadi batu loncatan untuk kita, agar terus bersedia untuk menempah ke alam perkahwinan. Pada usia remajalah kita perlu belajar tentang hal-hal rumahtangga. Apa tanggungjawab seorang suami, apa tanggungjawab seorang isteri. Semuanya harus diketahui oleh kedua-dua pihak. Malah, jika hal ini dilakukan oleh semua remaja muslim, maka tidak mustahil jika isu-isu negatif berkaitan dengan hal rumahtangga dapat dikurangkan.

Ingat, jadikanlah perasaan cinta yang hadir itu, sebagai titik langkah pertama kita untuk membina baitulmuslim suatu hari nanti. InsyaAllah.











Sunday, June 19, 2011

Sejarah itu Fakta atau Auta?





"History is written by the victor, and here I am, thinking we'd won. But you bring down one enemy and they find someone even worse to replace him. Locations change, the rationale, the objective. Yesterday's enemies are today’s recruits"
General Sheperd

Mungkin kata-kata ini hanyalah satu dialog dalam game (Call of Duty : Modern Warfare 2) semata-mata. Namun jika dilihat kembali 6 perkataan pertama, "History is written by the victor". Ya, sejarah dilakar oleh pemenang atau orang yang punyai kuasa.



"This is for the record. History is written by the victor. History is filled with liars. If he lives, and we die, his truth becomes written - and ours is lost. Shepherd will be a hero. 'Cause all you need to change the world is one good lie and a river of blood. He's about to complete the greatest trick a liar ever played on history. His truth will be the truth. But only if he lives, and we die."
Captain John Price


Sekali lagi perkataan keramat itu masih dituturkan, namun dijelaskan lagi dengan perkataan seterusnya. "History is filled with liars". Kenapa sejarah dipenuhi dengan penipuan? Bukankah sejarah itu satu fakta yang dianalisis lengkap untuk menjadi pedoman ataupun pengajaran untuk generasi muda kita? Eh, tunggu sebentar, siapa yang menganalisa sejarah tersebut? Sudah pasti kroni sang juara yang menjadi dalangnya. Maka dengan itu, sejarah yang acapkali dituturkan kepada kita adalah auta semata-mata. Ya, pasti, hanya auta semata. Jika ada fakta, itu hanyalah 10% daripada kebenaran.

Betapa banyak kepincangan dalam minda anak-anak muda kita. Apa yang auta menjadi fakta, apa yang fakta menjadi auta. Apa yang patut disemat dalam jiwa shabab-shabab kita, dipesongkan dengan sejauh-jauh mungkin. Ilustrasi dalam kebanyakan buku sejarah memaparkan orang-orang Melayu hanya menggunakan keris, tombak, parang dan peralatan kuno. Tidak sebenarnya. Kerajaan Melaka sudah punyai lala rentaka. Bukan satu, bukan dua, malah beribu. Namun adakah fakta ini diletakkan dalam buku sejarah di sekolah? Eh tunggu sebentar, wujudkan perkataan pemuras, istinggar, mahupun terakol dalam buku sejarah PMR mahupun SPM? Mengapa tiada? Mengapa?





Hero Melayu Moden, Dato' Onn Jaafar ada memberikan ucapan yang terakhirnya sebagai Yang DiPertua PEKEMBAR (UMNO) pada 26 Ogos 1951. Ucapan itu bukanlah ucapan perpisahan semata, namun ia mengandungi seribu satu makna dan merupakan amaran kepada semua rakyat agar berwaspada dengan bahaya yang tidak kita nampak sehingga sekarang.

" Oleh kerana saya mempunyai beberapa peluang dapat melihat sesuatu gerak langkah, sesuatu perbuatan atau cadangan yang hendak dijalankan di Tanah Melayu ini; langkah-langkah dan perbuatan yang mendatangkan kebimbangan kepada diri saya sendiri.
.....Saya dapat peluang itu oleh kerana dapat melihat tempat-tempat yang tidak dapat dimasuki oleh kebanyakan orang.
....Malang mulut saya tertutup....

(Mohamed Abid, 2003 m/s 191-192)

Bahaya apa yang diperkata Dato' Onn itu? Kenapa bahaya itu tidak diceritakan dalam buku sejarah? Padahal ianya sangat sangat perlu untuk diketahui oleh generasi-generasi sekarang.

Satu fakta menarik ketika saya menghadiri satu program ISK (Ini Sejarah Kita) ; berkaitan dengan jahiliyyah. Mengapa apabila disebut sahaja perkaatan jahiliyyah, seringkali kita disogok dengan Zaman Arab Jahiliyyah? Mengapa? Hanya orang Arab sahajakah yang pempunyai sifat jahiliyyah ini? Zaman Jahiliyyah sudah berakhir?

Saya ingat lagi kata-kata tegas dari Ustaz Firdaus Shah, " Jika mereka memperdebatkan lagi tentang jahiliyyah, maka suruhlah mereka tadabbur ayat-ayat ini. Al-Araf : 138, Yusuf : 33, Al-Fath : 26, Al- Maidah 44." (banyak lagi contoh, tapi saya terlupa)

Jahiliyyah daripada definisi sekarang bukan sahaja merujuk kepada bangsa Arab kuno, malah jahiliyyah itu merangkumi nilai-nilai buruk yang masih diamalkan mahupun sedang diamalkan oleh masyarakat kita.
Kita ambil contoh dari ayat 44 surah Al-Maidah ;

“Barang siapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir"

Ayat ini jelas menunjukkan salah satu contoh konsep jahiliyyah dimana undang-undang yang tidak mengikut
tasyri' (undang-undang) Islam adalah salah dan ianya satu perkara yang jahil.

Untuk lebih jelas, jahiliyyah itu adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan ianya tidak terbatas oleh masa, zaman dan bangsa-bangsa tertentu. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ada segelintir masyarakat Melayu mengamalkan budaya jahiliyyah dalam kehidupan.


Jadi kembali kepada persoalan utama, kenapa sejarah hanya mewujudkan Zaman Arab Jahilyyah, kemunduran masyarakat Melayu malah tidak memaparkan 'bahaya' yang diperkatakan Dato' Onn. Mengapa?

Mudah sahaja, mereka adalah sang juara pada masa lepas, dan merekalah menulis sejarah. Namun kita jangan bimbang, jangan khuatir, zaman kita akan tiba tidak lama lagi. Kegemilangan Islam akan kembali. Ustaziatul alam!









Wednesday, June 15, 2011

Iman Naik dan Turun. Solusinya?


Kelemahan iman adalah punca mengapa keimanan kita kadangkala turun dan ada masanya naik. Apakah punca-puncanya? (klik di sini)




Friday, May 13, 2011

Cepat sikit, banyak lagi nak tadabbur ni..


Rupa-rupanya syaitan sangat hebat dalam merencanakan program menyesatkan manusia. Program yang sangat tersusun dan efektif. Bahkan setiap teknik mereka bergantung kepada tahap-tahap hati si manusia juga. Macam seekor harimau, kalau semalam si kancil yg sihat, molek tubuh badan yang jadi idamannya, maka, si belang perlu mengerahkan banyak tenaga untuk menangkap si kancil. Maka, akan ada beberapa kesudahan dalam kes ini.

  • Si kancil sangat pintar dan sangat hebat. Maka, pada hari itu, si belang kecewa.
  • Si kancil pada hari itu kurang kepintarannya. Maka, haiwan kecil itu, menjadi santapan pak belang.
  • Tahap kepintaran kancil pada hari itu agak meragukan. Justeru, si kancil dapat melarikan diri, namun mendapat luka-luka kecil. Dalam masa yang sama pak belang masih belum mengalah dan mahu mencari si kancil itu juga pada masa yang seterusnya. Maka, ia bertekad dalam hati, untuk meratah 'kepintaran' si kancil itu. Maka, pada masa tiba pertemuan buat sekian kalinya, SALAH SATU daripada dua kesudahan di atas pasti berlaku.


Jadi, bagaimana syaitan menggoda kita?

Salah satu daripada teknik godaan syaitan : menggoda manusia agar bersegera dalam beribadah.

Eh, macam mana tu? Bukan ke bagus kalau buat amal cepat-cepat?

Syaitan akan terus menurus mencucuk jarum lalu apabila kita terkena tusukan, maka berubahlah tingkah laku kita. ( Syaitan menggoda manusia mengikut tahap keimanan manusia juga) Lalu dalam konteks ini, kategori mangsa adalah seperti berikut :

a) Muslim yang sederhana amalnya

b) Para muslim yang 'baru tersedar dari mimpi indah'

c) Mungkin diri kita juga



Maka, bagaimanakah 'symptom' nya?

Mudah sahaja, apabila diri kita sering terkejar-kejar dalam melakukan ibadah. Sebagai contoh, tatkala sedang bersolat, kita mula berfikir,

"Eh, apa yang perlu aku lakukan selepas solat? solat rawatibkah? tadabbur ayat-ayat cinta kah? atau..kedua-keduanya sekali? "

Persoalan sebegini sering bermain-main dalam diri lantas menjejaskan kualiti solat. Habis sahaja salam kedua, kita lantas terus mempercepatkan doa demi mengerjakan solat rawatib. Nah, ke mana pergi doa kita? Seusai solat rawatib, kita membaca Al-Quran pula. Ketika membaca Al-Quran, sering sahaja kita mempercepatkan bacaan dan kadangkala mengabaikan tajwid. Ya, kita mempercepatkan bacaan kerana sesuatu membisikkan kepada kita agar menyegerakan mentadabbur ayat-ayat tadi.

Jadi, kemana kualiti ibadah kita?

Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: ‘Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.’

Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan:
Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.’