بسم الله الرحمن الرحيم
Cinta kadangkala melemahkah manusia. Cinta kepada dunia membawa manusia jauh dari akhirat. Cinta kepada kesihatan membuatkan manusia lupa tentang kesakitan. Cinta pada harta menjauhkan manusia daripada sedekah. Cinta pada usia remaja sentiasa membawa manusia melupakan hari tua. Dan yang paling teruk, cinta terhadap dunia membuatkan manusia seakan-akan lupa akan akhirat. Apabila cinta itu terlampau kuat, maka ia bagai telah meresap kedalam darah, malah telah melekat pada daging-daging kita sendiri. Begitu juga dalam aspek pakaian dan fesyen, apabila apa yang pakai hari ini sudah menjadi kebiasaan, sudah pasti amat sukar untuk menanggalkannya.
Oh ya, saya terlupa satu lagi pepatah tentang cinta. Cinta itu buta. Malah ia membutakan mata serta hati manusia. Sehinggakan pesanan-pesanan sebegini dipandang sebelah mata sahaja. Nasihat-nasihat dalam Al-Quran sering diambil mudah. Apa guna kita membacanya jika sebarang nasihat tidak diguna pakai?
Berbalik kepada bab berpakaian. Saya pernah berhadapan dengan seorang wanita ketika beliau sedang membentangkan satu presentation berkenaan dengan hijab moden. Dari pandangan beliau, hijab itu perlu dimodenkan mengikut arus masa. Malah, tudung yang berwarna menarik boleh dipadankan di atas kepala seorang muslimah dengan alasan mengikut peredaran zaman. Ketika sesi soal jawab, saya bertanya kepada beliau,
"Adakah tudung berwarna warni serta bersaiz kecil masih dikategorikan sebagai hijab?"
Mungkin soalan saya agak 'keterlaluan' memandangkan majoriti hadirin wanita adalah wanita yang berpakaian moden namun saya merasakan saya wajar untuk saya menyoal soalan sebegitu.
" Lihat kepada saya, adakah saya menutup aurat?", soalnya kembali kepada saya.
Saya terdiam. Suasana sudah menjadi sedikit tegang ketika itu. Soalannya tidak dapat saya jawab memandangkan keadaan ketika itu tidak sesuai.
Hijab bukan sahaja bererti si wanita perlu melekatkan pakaian pada tubuh, tetapi menutup segala-galanya kecuali muka dan tapak tangan. Hanya dua bahagian itu sahaja yang boleh didedahkan di luar rumah. Dan kaki tidak termasuk di dalam bahagian yang boleh didedahkan. Ya, kaki wanita masih menjadi aurat kepada lelaki yang bukan mahram. Ramai wanita yang sering terlupa akan bahagian tersebut. Ada yang sudah menutup kepala, melabuhkan tudung menutup dada, memakai kain yang tidak jarang, namun, bahagian kaki pula terbuka. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan 90% wanita Islam di negara kita tidak menutup bahagian kaki. Dengan peratusan tersebut, secara tidak langsung, telah gugur aurat kaki pada kaca mata kaum wanita.
Apabila fesyen yang haram telah menjadi darah daging, maka tidak lain tidak bukan, kita perlu 'mencungkil' bahagian daging tersebut daripada diri kita. Memang sakit memang pedih. Namun, ingatlah, azab mana yang lagi pedih? Dunia atau akhirat?
Wallahualam