Dugaan demi dugaan mematangkan manusia. Tapi adakalanya dugaan mengecewakan manusia seterusnya ada yang mengambil jalan mudah dengan memisahkan roh sendiri dengan jasad. Sesungguhnya,berasa kecewa itu hanya untuk orang-orang yang enggan kecewa. Enggan kecewa bererti enggan berjaya...Pintu taubat sering dibuka. Dan akan dibuka sehingga tamat tempohnya, iaitu tatkala mentari mula terbit dari barat. Pabila ia sudah berlaku, maka tiada lagi taubat yang diterima. Teringat pula saya tentang cerita yang disampaikan oleh seorang sahabat. Mengenai kuasa taubat.
Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, pernah berlaku satu kemarau. Pelbagai cara yang telah dilakukan oleh Umar ketika itu. Namun semua usahanya menemui jalan buntu. Oleh itu, Umar telah memanggil beberapa orang sahabat untuk berbincang bersama untuk mengatasi masalah tersebut. Pabila semua sahabat telah berkumpul di rumahnya, maka Umar pun berkata " Wahai para sahabat, siapa disini yang baru bertaubat?". Maka seorang sahabat menjawab, "Wahai Umar, aku ada mengenali seorang pemuda yang baru bertaubat". Apabila mendengar sahaja bicara sahabatnya, maka Umar pun menyuruh sahabat tersebut memanggil pemuda tersebut.
Tidak lama selepas itu, pemuda itu datang ke rumah Umar. Umar terus menyuruh pemuda tersebut berdoa agar ALLAH menurunkan hujan. Dengan izin-Nya, tidak lama selepas itu hujan pun mencurah-curah turun dari langit...
Melalui kisah tersebut, dapat dibuktikan bahawa kuasa taubat sangat kuat. Apabila kita sudah bertaubat daripada melakukan dosa, maka ALLAH akan terus memakbulkan doa kita. Tapi adakah taubat yang kita lakukan, adalah taubat nasuha? Jika kita kerap solat taubat, tapi kita masih melakukan dosa yang sama, maka taubatkah namanya?
Surat At-Tahrim: 66, "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bresamanya, sedang cahaya mereka memancar di depan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan 'Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu'".
Amr bin Ala pernah mengatakan: "Taubat Nasuha adalah apabila kamu membenci perbuatan dosa sebagaimana kamu pernah mencintainya".