Friday, May 13, 2011

Cepat sikit, banyak lagi nak tadabbur ni..


Rupa-rupanya syaitan sangat hebat dalam merencanakan program menyesatkan manusia. Program yang sangat tersusun dan efektif. Bahkan setiap teknik mereka bergantung kepada tahap-tahap hati si manusia juga. Macam seekor harimau, kalau semalam si kancil yg sihat, molek tubuh badan yang jadi idamannya, maka, si belang perlu mengerahkan banyak tenaga untuk menangkap si kancil. Maka, akan ada beberapa kesudahan dalam kes ini.

  • Si kancil sangat pintar dan sangat hebat. Maka, pada hari itu, si belang kecewa.
  • Si kancil pada hari itu kurang kepintarannya. Maka, haiwan kecil itu, menjadi santapan pak belang.
  • Tahap kepintaran kancil pada hari itu agak meragukan. Justeru, si kancil dapat melarikan diri, namun mendapat luka-luka kecil. Dalam masa yang sama pak belang masih belum mengalah dan mahu mencari si kancil itu juga pada masa yang seterusnya. Maka, ia bertekad dalam hati, untuk meratah 'kepintaran' si kancil itu. Maka, pada masa tiba pertemuan buat sekian kalinya, SALAH SATU daripada dua kesudahan di atas pasti berlaku.


Jadi, bagaimana syaitan menggoda kita?

Salah satu daripada teknik godaan syaitan : menggoda manusia agar bersegera dalam beribadah.

Eh, macam mana tu? Bukan ke bagus kalau buat amal cepat-cepat?

Syaitan akan terus menurus mencucuk jarum lalu apabila kita terkena tusukan, maka berubahlah tingkah laku kita. ( Syaitan menggoda manusia mengikut tahap keimanan manusia juga) Lalu dalam konteks ini, kategori mangsa adalah seperti berikut :

a) Muslim yang sederhana amalnya

b) Para muslim yang 'baru tersedar dari mimpi indah'

c) Mungkin diri kita juga



Maka, bagaimanakah 'symptom' nya?

Mudah sahaja, apabila diri kita sering terkejar-kejar dalam melakukan ibadah. Sebagai contoh, tatkala sedang bersolat, kita mula berfikir,

"Eh, apa yang perlu aku lakukan selepas solat? solat rawatibkah? tadabbur ayat-ayat cinta kah? atau..kedua-keduanya sekali? "

Persoalan sebegini sering bermain-main dalam diri lantas menjejaskan kualiti solat. Habis sahaja salam kedua, kita lantas terus mempercepatkan doa demi mengerjakan solat rawatib. Nah, ke mana pergi doa kita? Seusai solat rawatib, kita membaca Al-Quran pula. Ketika membaca Al-Quran, sering sahaja kita mempercepatkan bacaan dan kadangkala mengabaikan tajwid. Ya, kita mempercepatkan bacaan kerana sesuatu membisikkan kepada kita agar menyegerakan mentadabbur ayat-ayat tadi.

Jadi, kemana kualiti ibadah kita?

Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: ‘Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.’

Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan:
Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.’