Friday, May 13, 2011

Cepat sikit, banyak lagi nak tadabbur ni..


Rupa-rupanya syaitan sangat hebat dalam merencanakan program menyesatkan manusia. Program yang sangat tersusun dan efektif. Bahkan setiap teknik mereka bergantung kepada tahap-tahap hati si manusia juga. Macam seekor harimau, kalau semalam si kancil yg sihat, molek tubuh badan yang jadi idamannya, maka, si belang perlu mengerahkan banyak tenaga untuk menangkap si kancil. Maka, akan ada beberapa kesudahan dalam kes ini.

  • Si kancil sangat pintar dan sangat hebat. Maka, pada hari itu, si belang kecewa.
  • Si kancil pada hari itu kurang kepintarannya. Maka, haiwan kecil itu, menjadi santapan pak belang.
  • Tahap kepintaran kancil pada hari itu agak meragukan. Justeru, si kancil dapat melarikan diri, namun mendapat luka-luka kecil. Dalam masa yang sama pak belang masih belum mengalah dan mahu mencari si kancil itu juga pada masa yang seterusnya. Maka, ia bertekad dalam hati, untuk meratah 'kepintaran' si kancil itu. Maka, pada masa tiba pertemuan buat sekian kalinya, SALAH SATU daripada dua kesudahan di atas pasti berlaku.


Jadi, bagaimana syaitan menggoda kita?

Salah satu daripada teknik godaan syaitan : menggoda manusia agar bersegera dalam beribadah.

Eh, macam mana tu? Bukan ke bagus kalau buat amal cepat-cepat?

Syaitan akan terus menurus mencucuk jarum lalu apabila kita terkena tusukan, maka berubahlah tingkah laku kita. ( Syaitan menggoda manusia mengikut tahap keimanan manusia juga) Lalu dalam konteks ini, kategori mangsa adalah seperti berikut :

a) Muslim yang sederhana amalnya

b) Para muslim yang 'baru tersedar dari mimpi indah'

c) Mungkin diri kita juga



Maka, bagaimanakah 'symptom' nya?

Mudah sahaja, apabila diri kita sering terkejar-kejar dalam melakukan ibadah. Sebagai contoh, tatkala sedang bersolat, kita mula berfikir,

"Eh, apa yang perlu aku lakukan selepas solat? solat rawatibkah? tadabbur ayat-ayat cinta kah? atau..kedua-keduanya sekali? "

Persoalan sebegini sering bermain-main dalam diri lantas menjejaskan kualiti solat. Habis sahaja salam kedua, kita lantas terus mempercepatkan doa demi mengerjakan solat rawatib. Nah, ke mana pergi doa kita? Seusai solat rawatib, kita membaca Al-Quran pula. Ketika membaca Al-Quran, sering sahaja kita mempercepatkan bacaan dan kadangkala mengabaikan tajwid. Ya, kita mempercepatkan bacaan kerana sesuatu membisikkan kepada kita agar menyegerakan mentadabbur ayat-ayat tadi.

Jadi, kemana kualiti ibadah kita?

Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: ‘Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.’

Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan:
Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.’






Wednesday, May 11, 2011

Kisah Si Prebet dan Si Kapten ; Sedikit ilmu, jangan angkuh

Aduh, rupa-rupanya, si syaitan lagi tinggi kesabaran daripada kita. Malunya. Syaitan dan kroni-kroni tidak pernah putus asa dalam menyesatkan manusia. Namun, manusia pula sering berputus asa dan sangat rendah tahap kesabaran. Aduh penyakit-penyakit manusia. Selagi tidak kita kawal, makin bertambah penyakit tersebut (2:10) .

Kita tidak pernah sedar, perencanaan syaitan untuk menyesatkan kita sangatlah hebat. Banyak agenda yang mereka cipta. Tidak lain tidak bukan hanya untuk membawa kita ke neraka. Perencanaan mereka mengikut tahap keimanan kita sendiri. Kalau setakat dengan godaan prebet-prebet jin pun kita sudah tewas, bayangkan dimana iman kita?

Contoh paling mudah. Agenda bercinta atau lebih glamour dengan perkataan ber'couple' ini adalah tidak lain tidak bukan adalah kerja-kerja PREBET syaitan sahaja. Manakala istilah 'couple' islamik pula, dicetuskan oleh SARJAN syaitan. Aduh, benar ke? Kalau begitu, remaja-remaja kita sudah tewas dengan dugaan PREBET syaitan sahaja. Belum lagi diuji dengan lans koperal mahupun koperal syaitan. Aduh....mana pergi kekuatan shabab-shabab kita? Mana? Dah kalau asyik bercinta-cintun, bila pulak masa nak bina iman. Masa bila pulak nak bina takwa? Aduh, itu prebet aja dong. Yang 'couple islamik' pula, henti-hentikanlah.. Anda tidak pernah menjadikan cinta itu islamik, tetapi anda telah kotori cinta dan nilai-nilai islam melalui istilah tersebut. Boleh pulak kan lelaki tolong 'check' bacaan wanita (bacaan Al-Quran) di celah-celah taman bunga. Kadang-kadang tu, study sama-sama di ceruk 'library' dengan alasan, kami menjaga jarak dan kami juga mengamalkan prinsip-prinsip couple islamik.. Eh, lagi teruk ni.....

Begitu juga dalam konteks halaqah atau usrah. Eh, ada juga ke syaitan yang dapat goda ahli-ahli usrah? Mereka kan ahli-ahli yang hebat. Bagi aja surah ape, semua dapat ditadabbur dengan baik. Sebut aje surah ape bang..bagi je kat saya.

Sewaktu ada abang-abang mendekati kamu bercerita tentang islam, kamu tertarik, tapi ada sekelumit rasa dalam diri kamu mengatakan kamu harus pergi. Itu bisikan PREBET syaitan. Tahniah! anda berjaya mengatasinya. Maka bermula hari itu, bermula lah kisah tarbiyyah kamu.

Saat itu, para PREBET syaitan masih menggoda kamu, tapi mereka tidak berjaya. Maka mereka berputus asa lalu mereka me'report' hal tersebut kepada ketua 'division' mereka iaitu KAPTEN syaitan bahagian menggoda ahli-ahli usrah. Selesai sudah prebet-prebet mengadu, maka si KAPTEN mula mengorak langkah. Si KAPTEN dengan perlahan-lahan mencucuk jarum.


Malam itu seusai solat isyak berjemaah, maka bermulalah sesi usrah seperti biasa. Pada sesi tilawah, kamu membaca ayat-ayat cinta Allah dengan baik sekali. Tiada langsung salah silap tajwid. Naqib bangga dengan kamu. Kamu apatah lagi, bangga dan tersenyum puas. Selepas itu, mula giliran sahabat di sebelah kanan kamu pula untuk membaca ayat-ayat cinta-Nya. Si sahabat tersilap tajwid dan maka kamu memperbetulkannya. Begitu juga dengan sahabat seterusnya, jika ada yang tersilap bacaan, maka dengan pantas kamu memperbetulkannya. Namun, di sebalik memperbetulkan bacaan para sahabat, kamu merasakan sesuatu yang aneh mula terbit di hati kamu. Namun, kamu berdiam diri sahaja.

Tahap pertama sudah berjaya . Si KAPTEN mula tersenyum kambing. Umpannya sudah mengena. Maka, bermulalah perencanaan seterusnya.

Esoknya, kamu ditegur seorang rakan sekuliah kamu, si hawa. Dia memuji kamu kerana kerana berjaya menganjurkan satu program yang besar pada minggu sebelumnya. Kamu tersenyum dan kembang dada. Suatu perasaan yang aneh tetapi menyeronokkan terbit di hati kamu. Ianya sama seperti semalam, sewaktu berusrah. Namun, kamu berdiam diri lagi.

Si KAPTEN mula ketawa kecil. Ia mengadakan pesta kecil bersama para PREBETnya. Walau orang bawahannya tidak mampu menggoda kamu, namun mereka mampu menggoda wanita tadi untuk bersuara memujimu.

Kamu masih melakukan rutin-rutin kamu seperti biasa, namun perasaan aneh itu belum hilang. Malah kamu rasa ianya kian berputik di hati kamu. Sehingga satu hari, kamu mula menyedari bahawa setiap kelakuan kamu sering dikawal oleh perasaan aneh itu. Kamu mula "benar-benar" memilih kawan. Hanya kawan yang seangkatan denganmu sahaja yang digauli. Mereka-mereka yang terpilih. Dan kamu berbangga. Sering juga kamu menyedari bisikan-bisikan dari kaum si hawa memperkatakan dengan kehebatan akhlakmu. Ya..akhlak kamu hebat. Sehingga kamu melupakan dan membiarkan perasaan aneh itu mengawal dirimu seratus peratus.

Pada masa yang sama, si KAPTEN bergelak ketawa. Jarum sudah mengena.




*Jauhilah riak, kerana ianya adalah salah satu dari tujuh tipu daya syaitan menurut Imam Ghazali

Wallahualam.