Tuesday, November 2, 2010

Bukan menolak cinta, tapi hormati cinta


Di zaman remaja, saya seorang remaja yang biasa. Di mana saya juga pernah bercinta dengan rakan sebaya. Bila hati sudah sayang, apa-apa yang dilakukan semuanya serba tak kena. Kadang-kadang, saya sendiri tidak senang duduk apabila tidak dapat SMS ataupun “call” daripada perempuan yang disaat itu saya labelkan dia sebagai “girlfriend”. Itulah, bak kata orang apabila cinta mula berputik, makan tak kenyang tidur tak lena, mandi tak basah. Kiranya kalau tidak dapat melihat si dia walaupun sehari, hati gundah gulana. Hubungan kami terus berkekalan. Selepas tamat SPM, saya meneruskan pengajian di satu pusat asasi sains di universiti tempatan dan dimana si dia pula mendapat peluang melanjutkan pelajaran di universiti luar negara. Ketika berada di pusat asasi tersebut, saya mula berkenalan dengan Abang Zahri dimana dia merupakan salah seorang tutor di universiti tersebut. Melalui Abang Zahri juga, saya mula melibatkan diri dalam usrah. Saya yang sebelum ini mengabaikan tuntutan agama, telah berubah. Ibu bapa saya juga menyedari perubahan diri saya dan mereka sangat gembira. Pada suatu hari, saya memberanikan diri saya untuk bertanya kepada Abang Zahri soalan yang sudah lama saya ingin persoalkan.

“Abang, saya sebenarnya mempunyai seorang teman wanita”

Abang Zahri tersenyum. Belum sempat saya menyambung kata, dia terus berhujah

“Hidup seorang lelaki, tak akan lengkap tanpa kehadiran wanita di sisi. Dan mengapa kita tidak mendambakan cinta yang datang melalui saluran yang betul. Mengapa perlu bercinta melalui jalan yang salah? Perlukah?”

Saya hanya tunduk mendiamkan diri.

“Sebenarnya lelaki tidak mempunyai hak pun terhadap mana-mana wanita selagi mereka tiada ikatan. Nak mencintai wanita pun, kita takde hak. Selagi tiada ikatan perkahwinan. Saya rasa awak tiada hak pun mengatakan perempuan tersebut adalah teman wanita awak. Apatah lagi menyayanginya. Islam itu indah. Dan setiap perkara yang ditetapkan oleh Islam adalah yang indah. Malah, jika kita mencari peneman hidup melaui cara Islam, nescaya indah segala-galanya.”

Malam itu juga saya menghantar SMS kepada si dia untuk memutuskan hubungan kami. Saya fikir, dia akan faham dan dapat menerimanya dengaan hati yang terbuka. Namun, lain pula jadinya. SMS saya dibalas dengan maki hamun. Walaupunbagaimanapun, saya rasa tenang kerana saya sudah dapat menjalankan tugas saya. Ya, saya sudah dapat menjalankan tugas yang mungkin sukar dijalankan oleh adik-adik sekalian. Namun, saya nasihatkan agar yakinlah dengan janji Allah. Tidak bernilai cinta itu jika ia dikotori dengan perhubungan yang tidak sah disisi Islam. Jadi, relakah kita berkahwin dengan wanita yang kita sendiri telah mengotori cintanya? Fikir-fikirkanlah. Cuma satu sahaja pesan saya kepada adik-adik remaja sekalian yang sedang hangat bercinta. Nikmat cinta selepas berkahwin, adalah beribu kali ganda daripada “cinta” yang adik-adik sekalian labelkan sebagai cinta suci itu.

Wallahualam.