Wednesday, December 24, 2008

Pesan Atuk


Ombak tidak henti-henti melamar pantai. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Camar berterbangan riang. Mungkin sekali perut mereka sudah diisi dengan rezeki kurniaanNya. Sesungguhnya laut itu bukan sahaja memberi kekenyangan kepada sang camar, malah laut itu jugalah yang tidak putus-putus memberi sesuap nasi kepada si nelayan tua untuk menyambung kehidupan. Angin lembut bertiup meliuk-liukkan dedaun nyior kapas. Sebiji nyior muda menghempap pasir putih pantai. Itu juga sebenarnya tanda kekuasaan Ilahi. Ajal maut ditangan Allah. Maut tidak mengira usia. Asal cukup sahaja masanya, Izrail akan laksanakan tugasnya dengan telus. Dan malaikatulmaut itu akan laksanakan tugasnya hingga ombak sudah tidak lagi menyembah pantai dan angin tidak lagi bertiup lembut di pantai nan indah ini.

Aku sendiri tidak tahu sudah berapa lama aku termenung di sini. Tapi yang pasti indah pemandangan di sini menenangkan jiwaku yang lara ini. Sedikit sebanyak aku boleh lupakan hal yang telah berlaku.

“You, I dah tak tahan dengan sikap you. You keluar dengan lelaki mana semalam!”, suaraku tinggi.
“He is my client Just a client. Ameen, you sendiri tahu kan kerja I. Panas baran you ni buat I rimas”.

“Ahhh! Ya Allah! Bantulah hambaMu ini. Hilangkan memori-memori itu”, aku hanya mampu berdoa. Kadang kala aku berharap sangat agar semua memori itu lenyap dengan serta merta.

“Kalau keadaan kita macam ni. Baik kita putus”, bentakku.
“Fine. Kalau inilah jalan terbaik”, suara Farah ditenggelami dengan esakannya,
“ Inilah perempuan. Lemah. Tak ada kekuatan. Semua perempuan lemah. You are a weak woman, Farah! Weak!”, aku sendiri tidak pasti apa yang keluar dari bibirku. Farah menangis. Dia berlari keluar dari restoran itu. Boooommmm! Bunyi membingitkan kedengaran. Tiba-tiba aku lihat ramai orang berkerumun di luar restoran. Dan aku lihat Farah berlumuran darah. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Sangat pantas. Aku hanya mampu meraung.

“ Dalam Al-Quran, Allah telah mengabadikan contoh wanita yang sempurna dan disebabkan kesempurnaannyalah kita orang lelaki memuliakannya. Kita ambil contoh Fatimah Az-Zahra. Kita lihat betapa Rasullullah sendiri menghormati Fatimah sampainya digelar anaknya itu dengan gelaran Ummu Abiha, yang bererti ibu kepada bapanya. Itulah Fatimah Az-Zahra. Rohaninya teramat hebat. Akhlaknya sungguh hebat sehinggakan ahli tasawwuf zaman kerajaan Umaiyah, Hasan Al-Basri mengatakan bahawa kaki Fatimah Az-Zahra bengkak kerana selalu berdiri solat pada malam hari. Saat Fatimah Az-Zahra beribadah, akan ada tujuh puluh ribu malaikat menyampaikan salam dan menyapanya. Apakah kita kaum lelaki boleh mencapai tahap seperti Fatimah Az-Zahra?
Jadi ini membawa erti lelaki dan wanita tiada beza. Semuanya dari tanah. Hanya amal yang membezakan kita semua”, pesan arwah atuk terngiang-ngiang di telingaku.

“Atuk, maafkan Ameen. Ameen lupa pesanan atuk. Ameen telah bertindak kejam kepada seorang wanita yang sangat Ameen kasihi. Maafkan aku Farah”, aku luahkan juga kata-kata itu meskipun Atuk dan Farah tak mungkin mendengarnya. Angin terus bertiup. Ombak terus memukul pantai.
**********************************************

“Ameen, ingat pesanan Atuk ini. Bila Ameen duduk di tempat orang nanti, jaga tingkah laku. Jangan makan di dalam berak diluar. Jangan jadi manusia yang buruk perangai. Ingat Ameen, bila kita mencari rezeki di tempat orang, kita kena jujur. Orang buat baik, kita kena balas dengan yang baik juga. Jangan jadi buntat hendak menjadi gemala”, Atuk memberi pesanan kepadaku. Aku hanya mengangguk. Malam itu, malam terakhirku di kampung halaman ini. Aku telah mendapat tawaran bekerja di ibu kota. Esok aku aku akan berangkat ke ibu kota. Oleh itu, malam ini aku akan habiskan masaku dengan Atuk.

“ Tinggal di kota, kamu mesti berhati-hati. Biar titik jangan tumpah. Di kota, jangan nilai orang dengan luaran. Kadang kala, muka sahaja baik, tapi perangai lebih teruk dari binatang. Tapi hidup ini takkan lengkap dengan dugaan. Bila sudah terkena sekali, terus beringat. Biar tersenget, jangan sampai tertiarap”, Atuk berpesan lagi.
Aku mengangguk sambil memerhatikan Atuk mengambil sirih di dalam cerana.

Sambil mulutnya mengunyah sirih, Atuk berbicara lagi. “Bila kamu sudah ada pangkat, dah jadi orang besar, kamu jangan lupa diri. Jangan lupa Allah. Jangan lupa Nabi. Biasanya orang bila dah berpangkat, terus lupa sejadah. Puasa terus tak ingat. Apatah lagi zakat. Jangan lupa semua itu. Tinggal puasa, tinggal sembahyang itu perbuatan yang keji. Betul-betul perbuatan yang keji. Bak kata orang, tiada terjilat oleh anjing, tiada tersudu oleh itik. Kadang-kadang Ameen, bila orang sudah berharta, dia jadi sombong. Dia jadi angkuh. Jadi macam rama-rama tiada berjijak di bumi. Janganlah kamu jadi macam itu, Ameen. Atuk harap sangat. Satu lagi yang Atuk ingin pesan. Bila nampak ikan terkirap, jangan terus tebar jala. Jangan ambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Berdosa”.

“ Baiklah Atuk. Ameen janji. Ameen akan selalu ingat pesan Atuk”, aku berjanji dengan Atuk.

“Baguslah kalau begitu. Hari sudah jauh malam. Pergilah tidur”, arah Atuk.

“Baiklah Atuk”

************************************************

Petang Jumaat itu, cuaca di Kampung Deli mendung. Awan sarat membawa hujan. Bila-bila sahaja akan tumpah ke bumi. Dan kawasan tanah perkuburan di kampung itu dibanjiri dengan ramai penduduk kampung. Sudah pasti mereka semua bersedih dengan pemergian Tok Penghulu kanpung itu. Mereka sudah kehilangan seorang pemimpin yang kuat pegangan agamanya serta baik budinya Keranda perlahan-lahan dimasukkan ke dalam liang lahad. Selesai sahaja si penggali kubur memenuhi semula liang lahad itu dengan tanah kubur yang digalinya pagi tadi, Pak Imam memulakan bacaan talkin.

“Leman, kamu sudah beritahu si Ameen belum?” tanya Hadi separuh berbisik tanda menghormati Pak Imam yang sedang membaca talkin.

“Beritahu apa?”, Leman bertanya semula.

“Arwah kan datuk Ameen”, Hadi menjawab dengan suara lebih kuat dari sebentar tadi.
“ Alamak! Aku lupa”, Leman menepuk dahinya. Kemudian dia ke belakang sedikit dan membuat panggilan. Panggilannya dijawab

“Helo. Assalamualaikum”
“Helo! Siapa ni?”
“Ameen. Ni aku Leman”
“Kau nak apa”
“Atuk kau..”
“Kenapa dengan orang tua tu?”
“Atuk kau sudah jadi arwah. Pulanglah ke kampung hari ini”.
“Oh! Aku busy la hari ini. Nanti bila free, aku balik la”, panggilan terus diputuskan.

“Min, siapa call?”, gadis pelayan yang kecil molek itu bersuara manja.
“Kawan je. Sayang, jom kita menari”, aku menarik tangan gadis itu. Pub itu terus meriah. Pengunjumg-pengunjungnya terus berpesta sakan. Sehinggakan salah seorang pengunjung syurga dunia itu terlupa bahawa dia sudah kehilangan seseorang yang disayanginya buat selama-lamanya.

*******************************************

“Atuk, maafkan Ameen. Ameen banyak buat dosa. Ameen harap Atuk maafkan Ameen”, aku menangis tidak henti-henti.

“Ya Allah! Ya Allah! Ampunilah aku! Aku sudah tidak punya apa-apa di dunia ini. Aku sudah kehilangan ibu bapa sejak aku kecil lagi. Aku sudah kehilangan datuk yang aku amat kasihi dan aku sudah kehilangan seseorang yang amat menyintai aku. Ya Allah! Aku juga sudah tidak punyai pekerjaan lagi. Cukuplah Ya Allah! Aku sudah sedar akan kesilapanku. Aku bertaubat Ya Allah! Aku bertaubat!”, kepada Allah sahajalah tempatlah aku mengadu. Aku sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini.

“Aaaaarrrggghhhhhh!”

“Aaaaarrrggghhhhhh!”

“Cepat-cepat. Bawa pesakit itu masuk ke bilik rawatan!” jerit seorang lelaki yang berpakaian serba putih sambil jari telunjuknya menuding ke arah seorang lelaki yang sedang meraung di pantai. Suasana menjadi sedikit kecoh.

Tidak lama selepas itu, kelihatan dua orang lelaki yang turut berpakaian serba putih memapah seorang pesakit hospital itu masuk ke dalam bilik rawatan.

“Tengok tu, sakit Abang Ameen datang lagi”.
“Kesian dekat dia. Muda-muda lagi sudah hidap sakit mental”.

Dua orang nurse itu kembali menyambung kerja mereka di kaunter pertanyaan.Hospital Bahagia Pantai Jenan kembali tenang. Ombak terus melamar pantai. Camar masih menyambar ikan dan angin masih lagi bertiup lembut di pantai itu.

Wednesday, December 17, 2008

Rebahnya seorang Presiden









Dentuman di pinggir tebing itu,
Angkaranya,
Letupan ini,
Tangkapan sana,
Penyelewengan situ,
Semuanya angkaranya.

Dia saksikan semua itu,
Dengan penuh tawa iblis,
Gelak suka iblis,
Tegukan kencing setan,
Dia puas.

Anak jadi piatu,
Isteri jadi balu,
Adik tiada abang,
Ibu hilang anak,
Dia bangga, melihat sengketa.

Tapi malam ini,
Tiada rasa kebanggaan lagi,
Tiada tawa,
Tiada suka,
Hanya aliran sungai darah,
Dari kepalanya.
Tuan Presiden menyembah bumi..



Tuesday, December 16, 2008

Penghujung Yang Terhujung





Tika zaman di penghujung,
Keikhlasan makin kabur,
Keluhuran makin hancur,
Ketulusan makin mandul,
Kemanusiaan makin lebur.

Tika zaman di penghujung,
Wanita itu lelaki,
Lelaki itu wanita.
Tiada beda.

Riba itu ertinya niaga,
Niaga itu rasuah,
Dan rasuah adalah mesti.

Anak pula ertinya sampah,
Dibuang,
Dicampak,
Ditanam,
Dengan nafas.

Tika zaman di penghujung,
Kita makin leka,
Nafsu beraja,
Iblis bertakhta.

Sehingga kita makin lupa,
Kita makin hampiri,
Di penghujung yang terhujung,
Fajar barat,
Senja timur.